top of page

Aminuddin: 212 Rumah Mampu Milik bakal dibina di Labu!

44 penduduk asal Ladang Kirby ditawarkan rumah!

SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan telah meluluskan cadangan pembangunan 212 unit Rumah Mampu Milik (RMM) di Ladang Kirby, Labu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, atas dasar prihatin dengan nasib rakyat, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada 22 Julai 2020, telah meluluskan cadangan pembangunan RMM sebanyak 212 unit yang terdiri dari 100 unit RMM Type A dengan harga jualan RM80 ribu dan 112 unit rumah Type C dengan harga jualan RM380 ribu.

“MMK telah bersetuju untuk menjual 44 unit RMM Type A kepada 44 orang pekerja estet yang merupakan penduduk asal tanah tersebut pada harga RM45 ribu sahaja, sama ada secara jualan terus ataupun sewa beli.

“RMM Ladang Kirby yang dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2022, adalah satu lagi bukti keprihatinan Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan untuk terus membela nasib rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah agar mereka mampu memiliki rumah sendiri pada harga yang berpatutan,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Dokumen Perjanjian di antara Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) (MBI NS) dengan syarikat New Times Development Sdn. Bhd. (NTDSB).

Perjanjian ini adalah bertujuan untuk membangunkan 212 buah Rumah Mampu Milik (RMM) Jenis A dan C di atas tujuh lot tanah milik MBI seluas 16.57 ekar di Ladang Kirby, Labu.

Turut hadir Exco Pembangunan Luar Bandar dan ADUN Labu, YB Ismail Ahmad; Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam dan aDUN Nilai, YB J.Arul Kumar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr.Razali Ab Malek dan Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri, YB Dato’ Mohd Khidir Majid.


0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page